comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis terima 57 aduan penipuan mesin layan diri babitkan kerugian RM5.3 juta

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 57 laporan polis daripada mangsa penipuan skim pelaburan mesin layan diri membabitkan kerugian RM5.3 juta setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata kesemua laporan polis itu diterima pihaknya sejak tahun lalu dan siasatan sedang jalankan.

“Setakat ini, sejumlah 57 laporan polis telah diterima membabitkan jumlah kerugian RM5,306,900. Siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (jenayah tipu) sedang dijalankan.

“PDRM menggesa mana-mana individu yang telah menjadi mangsa skim penipuan ini untuk tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran untuk tindakan siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dalam satu sidang media di ibu kota mendedahkan 19 mangsa kerugian RM1.84 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan mesin layan diri yang menjual produk minuman.

Skim pelaburan itu ditawarkan sebuah syarikat kononnya bekerjasama dengan sebuah yayasan terkenal.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata syarikat itu menyasarkan mereka yang kurang berkemampuan dan ingin menambah pendapatan sebagai mangsa.

Katanya, modus operandi pelaburan syarikat terbabit adalah dengan menawarkan mangsa satu pulangan dividen yang lumayan dan beberapa manfaat menarik lain.

Dalam pada itu, Ramli menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan mencari maklumat yang secukupnya sebelum mengambil keputusan untuk menyertai mana-mana skim pelaburan.

“Dapatkan pandangan dan nasihat daripada agensi yang berkaitan dengan pelaburan seperti Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum melabur,” katanya.

Selain itu, katanya orang ramai juga boleh menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 sekiranya mempunyai sebarang kebimbangan berkenaan jenayah penipuan (scam).

“Jangan membuat pelaburan secara membuta tuli. Ingatlah, tamak haloba dan kejahilan adalah menjurus kepada kerugian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini