comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis yakin peroleh Notis Merah INTERPOL terhadap Adlan Berhan

Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin akan memperoleh kelulusan Notis Merah terhadap Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Polis Antarabangsa (INTERPOL) dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah menyerahkan permohonan Notis Merah terbabit kepada INTERPOL Asia sebelum dirujuk ke ibu pejabat INTERPOL berpangkalan di Lyon, Perancis.

“Pihak INTERPOL (Asia) sedang menunggu jawapan daripada INTERPOL di Lyon dan kita yakin memang ada Notis Merah akan dikeluarkan.

“Jawapan daripada pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) juga kita sudah dapat pada 3 Oktober lalu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dilaporkan berkata pihaknya sudah menerima dokumen diperlukan daripada SPRM pada 3 Oktober lalu sebelum dimajukan ke INTERPOL.

Baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, SPRM sedang menyediakan beberapa dokumen diperlukan, termasuk draf pertuduhan kes, untuk diserahkan kepada PDRM bagi melengkapkan permohonan Notis Merah terhadap menantu Muhyiddin itu dan seorang lagi individu.

Permohonan Notis Merah itu perlu dibuat melalui PDRM.

SPRM memohon Notis Merah INTERPOL terhadap Muhammad Adlan serta peguamnya, bagi siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Loading...
Terkini