comscore
Tumpuan :
Nasional

Prasarana peraga koc kisah ‘Cerita Malaysiaku’ sempena 16 September

 

KUALA LUMPUR: Inisiatif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dengan kerjasama Rapid Rail selari dengan usaha kerajaan agar sambutan Hari Malaysia 16 September ini diwarnai dengan kisah yang menarik dan tersendiri.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, inisiatif syarikat pengendali perkhidmatan rel itu yang memperkenalkan koc khas bertemakan ‘Cerita Malaysiaku’ juga mampu menarik minat rakyat.

“Satu koc tren diperagakan dengan pelbagai fakta maklumat dan hiasan yang bukan hanya menarik tetapi banyak pengisian penting bagi negara kita seperti simbol, tempat dan makanan yang membawa tema Malaysia,” katanya selepas melancarkan koc istimewa bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), laluan Kelana Jaya, di ibu negara, petang tadi.

“Saya mengalu-alukan dan berterima kasih kepada Prasarana atas usaha yang selari dan selaras dengan inisiatif kita dalam menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Diharap pada masa hadapan lebih banyak koc LRT, MRT bersama-sama menyertai,” katanya.

Tren ‘Cerita Malaysiaku’ dibalut khas dan dihiasi dengan visual yang memaparkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan budaya.

Laluan Kelana Jaya, selaku laluan rel dengan jumlah penumpang tertinggi serta jajaran yang melalui kawasan-kawasan berkepadatan tinggi termasuk segitiga emas Kuala Lumpur, dipilih sebagai platform untuk inisiatif ini.

Inisiatif juga menjadi komitmen Prasarana dan Rapid Rail sebagai pengendali perkhidmatan rel di Lembah Klang dalam menyokong usaha kerajaan mempromosikan sambutan Hari Malaysia.

Menurut Prasarana, inisiatif tren ‘Cerita Malaysiaku’ tercetus, bagi menghargai negara Malaysia serta berkongsi fakta dan maklumat agar ianya sentiasa diingati.

Orang ramai dapat melihat keunikan tema tren yang berbeza bagi setiap koc seperti Rukun Negara, Negaraku, kebudayaan, perayaan, kepelbagaian makanan, tempat-tempat menarik dan juga sejarah pengangkutan awam di negara ini.

Pengguna yang menaiki tren ‘Cerita Malaysiaku’ juga akan disajikan dengan pelbagai maklumat yang menarik di sepanjang perjalanan semasa ke destinasi yang ditujui.

Loading...
Terkini