comscore
Tumpuan :
Nasional

Presiden Turkiye ucap takziah kepada keluarga nahas helikopter

Kiriman ucapan takziah dari Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang dikongsikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman Facebook beliau hari ini.Foto: Anwar Ibrahim / Facebook 

KUALA LUMPUR: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga 10 wira negara yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pada Selasa lepas.

Kiriman ucapan takziah itu dikongsikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di laman Facebook beliau hari ini.

Anwar mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatnya atas keprihatinan beliau terhadap insiden yang mengejutkan negara itu.

“Terima kasih Presiden Erdogan atas ingatan serta kebersamaan beliau di saat negara sedang berduka atas pemergian 10 wira dalam nahas helikopter TLDM di Lumut, Perak,” katanya.

Perdana Menteri turut berkongsi kandungan ucapan takziah yang dikirimkan Erdogan.

“His Excellency Prime Minister (Anwar), Dear Brother. I learned with deep sorrow that 10 crew members lost their lives in the military helicopter crash that occurred in Malaysia’s Perak State.

“We wish God’s mercy to the martyrs, I express my condolences on behalf of my Nation and myself to His Excellency, the grieving families of those who lost their lives, and the friendly Malaysian people,” kata Erdogan.

Selasa lepas, negara dikejutkan dengan insiden dua helikopter milik TLDM terhempas ketika menjalani latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.

Insiden itu, yang berlaku di Pangkalan TLDM Lumut, mengorbankan kesemua 10 anggota dalam dua pesawat terbabit.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini