comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK DUN Sungai Bakap: Mekanisme sama pilih calon Kerajaan Perpaduan

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pemilihan calon Kerajaan Perpaduan bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang akan menggunakan mekanisme yang sama seperti di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu, Selangor baru-baru ini.

Menurut Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, ia mengambil kira sikap dan pendirian kerjasama yang baik di antara parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya percaya proses yang sama akan dituruti untuk PRK Sungai Bakap. Saya lihat, insya-Allah tidak akan menjadi isu dan akan diuruskan melalui mekanisme dalaman bagi Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, setakat ini, Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan belum mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan, seorang pemimpin UMNO Pulau Pinang mendakwa ada permintaan akar umbi mahu Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) bertanding pada PRK Sungai Bakap.

Pemimpin yang enggan dinamakan itu berkata, gesaan tersebut dibuat sebagai menghargai sumbangan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan termasuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan terbaharu memenangkan calon PH, Pang Sock Tao pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu selepas lebih tiga minggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 atau 15,433 undian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini