comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jenazah ADUN Sungai Bakap selamat dikebumikan

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Idris Ahmad mengimamkan solat jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff di Masjid Jamek Sungai Acheh hari ini.-Foto: NSTP

NIBONG TEBAL: Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap Nor Zamri Latiff selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Acheh, di sini, kira-kira jam 6.30 petang tadi.

Jenazah dimandi dan dikafankan di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum dibawa pulang ke kediamannya.

Ia bagi memberi ruang kepada ahli keluarga dan orang ramai memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah dibawa ke masjid untuk solat jenazah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff di Masjid Jamek Sunggai Acheh hari ini.-Foto: NSTP

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek.

Di masjid, solat jenazah dipimpin Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad sambil diiringi lebih 500 individu.

Nor Zamri, 56, menghembuskan nafas terakhir jam 1.38 tengah hari tadi selepas lebih tiga minggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSJ.

Pada 1 Mei lalu, Nor Zamri yang mengalami komplikasi di bahagian perut pergi ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke HSJ.

Beliau kemudian ditidurkan selepas doktor mendapat kebenaran ahli keluarga.

Nor Zamri atau lebih dikenali YB Abang Zam dipilih mewakili suara penduduk Sungai Bakap selepas menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Beliau yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose apabila meraih 1,563 lebihan undi daripada 15,433 undi yang memilih beliau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini