comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PRK DUN Sungai Bakap: Pertandingan satu lawan satu antara calon PH, PN


Oleh: Kumaran Rajamoney

NIBONG TEBAL: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairulnizam Hashim mengumumkan calon yang layak bertanding selepas proses penamaan calon tamat pada jam 10 pagi tadi di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.

PH mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin, 60 sebagai calon, manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diwakili Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56.

Dr Joohari menyerahkan borang pencalonannya pada jam 9.03 pagi, diikuti Abidin pada jam 9.06 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi, di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai depan bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu selepas lebih tiga minggu menerima rawatan akibat keradangan dalam perut di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini