comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Kemaman: Tiada kawasan panas

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan mengadakan lawatan ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Tiada kawasan panas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman (P.040).

Bagaimanapun Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya menempatkan hampir 2,800 pegawai dan anggota sepanjang bermula hari penamaan calon yang akan berlangsung esok di Dewan Berlian Utama.

Jumlah itu termasuk Pegawai dan anggota yang akan ditugaskan di daerah Kemaman sekiranya berlaku banjir.

“Saya menasihatkan ke semua penyokong parti supaya tidak melakukan provokasi sehingga boleh mengganggu keharmonian dan ketenteraman awam.

“Kami sudah mengenalpasti tiada kawasan panas dan berharap PRK Parlimen Kemaman berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman.

Sebanyak 24 jalan utama dan jalan alternatif lain ditutup esok dalam tempoh penamaan calon berlangsung.

Berikutan PRK Parlimen Kemaman berlangsung dalam tempoh Musim Timur Laut (MTL), sebanyak 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dalam parlimen itu akan menjadi pusat mengundi.

“18 PPS itu merupakan pusat mengundi dan jika berlaku banjir di PPS itu kita sudah ada pelan tindakan lain untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar”, ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Mazli turut ditanya bersabit laporan polis ke atas Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris mengenai ucapannya yang berbaur fitnah terhadap terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Perkara itu dalam perhatian pihak polis dan sedang diteliti Bukit Aman”, katanya lagi.

Semalam, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar dipilih sebagai calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman (P.040).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang bakal dicabar calon Barisan Nasional iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Majlis pengistiharan calon Pas berlangsung di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square malam tadi.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia selepas pihak pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 3 Oktober lalu, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.

Loading...
Terkini