comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PRK KKB: Sock Tao diumumkan calon Kerajaan Perpaduan

 


KUALA KUBU BHARU: Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao diumumkan sebagai calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Ia diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam Majlis Pengumuman Calon Perpaduan PRK Kuala Kubu Bharu hari ini.

“Calon ini calon yang boleh menang, calon yang berkaliber dan calon yang boleh mewakili kerajaan.”

“Dengan segala hormatnya saya mengumumkan calon yang akan mewakili kerajaan perpaduan untuk PRK Kuala Kubu Bharu, saudari  Pang Sock Tao,” ucapnya.

Mengulas pencalonannya, Sock Tao, 31, bertekad untuk meneruskan legasi mendiang Lee Kee Hiong untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada warga Kuala Kubu Bharu.

Ini kerana, katanya, mendiang adalah mentor kepada ramai golongan muda dalam DAP, selain mengetengahkan prinsip membina negara lebih maju, demokratik dan saksama kepada semua pihak.

Anak kelahiran Ampang, Selangor itu berkata beliau juga berhasrat menggunakan pengalamannya berkhidmat di dua kementerian sebelum ini untuk membawa pembangunan positif di kawasan berkenaan.

“Saya sudah menceburi arena politik selama enam tahun dan pernah berkhidmat di dua kementerian, meliputi perumahan dan kerajaan tempatan serta tenaga, sains, teknologi dan alam sekitar.”

“Menerusi pengalaman ini, saya berharap ia akan memberi inspirasi untuk membawa pembangunan positif di Kuala Kubu Bharu,” katanya.

Sock Tao adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), selain berpengalaman sebagai penerbit UbahTV kendalian DAP.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Kee Hiong dari DAP akibat barah, pada 21 Mac lalu.

Pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor, Kee Hiong mengekalkan penguasaan di DUN Kuala Kubu Bharu dengan majoriti 4,119 undi, mengalahkan tiga lagi saingannya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan MUDA.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon ialah pada Sabtu ini, diikuti hari pengundian pada 11 Mei.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini