comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Parlimen Pulai: Penyokong berkumpul di pusat penamaan calon

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiringi calon Pakatan Harapan Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat untuk menuju ke pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor. – Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Suasana pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, tenang dengan penyokong parti bertanding mula memenuhi kawasan disediakan pihak berkuasa.

Laluan utama di Jalan Ayer Molek yang menempatkan pusat penamaan calon turut ditutup kira-kira 100 meter dari pintu pusat penamaan calon berkenaan.

Penyokong Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dilihat mula berkumpul di sebelah kiri dewan berhampiran Pejabat Pos Besar Johor Bahru, manakala penyokong Perikatan Nasional (PN) pula ditempatkan di Masjid Abu Bakar sebelum mula berjalan kaki ke pusat penamaan calon.

Kira-kira 800 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut ditempatkan di lokasi sekitar pusat penamaan calon bagi mengawal keselamatan.

PRK Parlimen Pulai dijangka menyaksikan persaingan sengit apabila Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan anak didik Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, penyandang bagi dua kerusi kawasan itu, menentang calon Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden BERSATU Malaysia, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Setiausaha Agung Perikatan Nasional Datuk Seri Hamzah Zainudin mengiringi calon perikatan nasional Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar untuk menuju ke pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor. – Foto: NSTP

PH menamakan bekas Speaker DUN Johor yang juga Setiausaha Politik Allahyarham Salahuddin, Suhaizan Kayat yang bertanding atas tiket AMANAH sebagai bakal calon Parlimen Pulai untuk mempertahankan kerusi itu.

Suhaizan dijangka menentang bakal calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Pulai yang juga usahawan kelahiran Tampoi.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi pula dijangka menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Pulai.

Loading...
Terkini