comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Sungai Bakap: 7 permit ceramah sudah diluluskan – Polis

Foto hiasan

NIBONG TEBAL: Tujuh permit ceramah sudah diluluskan bagi tempoh hingga hari ketiga kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, tiada sebarang permohonan permit untuk kempen PRK ditolak setakat ini.

“Kesemua permit itu diluluskan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Chong Boo Khim, dan tiada permohonan permit yang ditolak.

“Hingga kini juga tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kes membabitkan PRK itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua pihak dinasihatkan supaya tidak menimbulkan provokasi terhadap mana-mana pihak sepanjang tempoh berkempen pada PRK kali ini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan serta undang-undang, termasuk melakukan khianat atau merosakkan bahan kempen seperti banner, poster dan bendera parti,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Hamzah berkata, seramai 800 anggota polis termasuk 12 pasukan Cantas/Pemantau, diatur gerak bagi penugasan ketika PRK Sungai Bakap untuk memastikan kelancarannya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin, dengan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail, mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK itu pada 6 Julai depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini