Tumpuan :
Nasional

PRN 2023: Kempen di enam negeri tertumpu kepada politik kepartian pusat

Foto hiasan

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Seminggu berlalu selepas gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dibuka, rata-rata corak kempen lebih tertumpu kepada politik kepartian, berbanding isu atau masalah setempat.

Perikatan Nasional (PN) dilihat mahu menjadikan pentas demokrasi ini sebagai referendum atau pungutan suara rakyat bagi menilai prestasi kerajaan perpaduan sejak mentadbir negara November lalu.

Sedangkan rekod PN sendiri semasa mentadbir negara selama 17 bulan mengundang kritikan pelbagai pihak.

Tahap pencapaian kerajaan pimpinan PAS dan kebajikan rakyat di Kelantan, Terengganu dan Kedah juga sering dipersoalkan.

Berdasarkan perjalanan ceramah PRN setakat ini, masalah penduduk tempatan kurang dibicara.

Sebaliknya politik kepartian dan isu nasional lebih lantang diperkatakan .

Isu-isu termasuk kemudahan asas seperti bekalan air bersih, baik pulih jalan raya serta kelayakan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipinggirkan, berbanding serangan politik provokasi yang membakar sentimen pengundi.

Gandingan dua bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang nyata mensasarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan atau nukilan mereka.

“Selepas PRU15 kuasa iaitu kerajaan yang ada pada hari ini, yang katanya dipimpin oleh orang Melayu tetapi sebenarnya di sebalik itu adalah kuasa-kuasa mereka yang bukan melayu Islam,” ucap Tan Sri Muhyiddin dalam ceramah PN di Kapar, Klang, Selangor, 30 Julai lalu.

Dalam negara yang didominasi pemimpin dan penjawat awam melayu di bawah naungan raja-raja melayu, dengan kebajikan orang melayu masih berpaksi kepada dasar kerajaan, sejauh manakah kebenaran tuduhan yang dilemparkan?

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan serangan isu yang hanya memfokuskan kepada pemimpin negara sudah lapuk dan tidak boleh lagi diterima.

“Ini merupakan satu taktik serangan yang ketandusan idea semata-mata untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya,” jelasnya.

Bagi Datuk Seri Anwar, isu pokok adalah kekayaan negara disakau pemimpin tertentu, yang tanpa segan silu, mengintai peluang untuk kembali ke tampuk kuasa.

“Ini masalah. Kemudian datang ke kampung, (tuduh kerajaan) tidak selesai masalah? Kamu sakau banyak-banyak, dan berharap kerajaan lapan bulan selesai. kamu ingat rakyat bodoh?” tegas beliau.

Dengan majoriti kukuh di Dewan Rakyat juga bebas daripada sebarang persengketaan dalaman, Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar berjaya mewujudkan permuafakatan dan memulihkan kestabilan politik.

Majoriti selesa itu menyebabkan PN terpaksa melupakan sebarang hasrat untuk menjatuhkan beliau menerusi undi tidak percaya di parlimen.

Justeru PRN dilihat sandaran terakhir untuk PN melemahkan PH dan merumitkan kerjasama gabungan itu dengan BN, khususnya UMNO.

Ia diharap membuka pelbagai kemungkinan yang menguntungkan gabungan percaturan Tan Sri Muhyiddin sebelum PRU16 pada 2027.

Perang saraf bebentuk provokasi dalam PRN kali ini dikhuatiri menenggelamkan keperluan membicarakan isu-isu yang menghimpit kehidupan harian rakyat, juga solusi yang ingin ditawarkan parti-parti yang bertanding secara sihat.

Jika dibiarkan, keadaan ini berisiko melemahkan sistem demokrasi negara.

Loading...
Terkini