comscore
Tumpuan :
Nasional

PRN 2023: Lelaki ditahan terbangkan dron atas kepala penyokong 

 

Foto : NSTP

ALOR SETAR: Seorang lelaki ditahan kerana dipercayai cuba menerbangkan dron di Pendang pada Hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan oleh pasukan Ops Cantas kerana menerbangkan dron di atas penyokong sewaktu penamaan calon di daerah itu.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas alat penerbangan itu untuk tindakan lanjut.

“Dalam kejadian berasingan di Kuala Kedah, seorang wanita cedera di kepala selepas terkena dron yang jatuh mengenainya.

Dron yang dipercayai terjatuh dan terkena kepala seorang wanita di Kuala Kedah. – Foto tular

“Bagaimanapun mangsa dalam keadaan stabil dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Kita difahamkan, dron terbabit diterbangkan untuk kegiatan pertanian dan tiada tangkapan dibuat namun ianya masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Fisol berkata, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 143 Peraturan Penerbangan Awam 2016.Beliau berkata, penggunaan dron tidak dibenarkan langsung terutama pada hari penamaan calon dan hari mengundi pada 12 Ogos nanti kecuali mendapat kebenaran daripada pihak Suruhanjaya Pernerbangan Awam (CAAM).

“Jika membabitkan kecederaan, kita akan siasat ikut undang-undang lain.

“Perkara ini sudah dimaklumkan sebelum ini dan memang kita tak benarkan penggunaan dron pada ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Fisol berkata, keseluruhannya proses penamaan calon di 17 Pusat Penamaan Calon  membabitkan 36 DUN di negeri ini berjalan lancar.

Seramai 2,694 pegawai dan anggotanya ditugaskan untuk mengawal keadaan dan situasi di semua kawasan terbabit.

Katanya,  kebanyakan kawasan mempunyai antara 200 hingga 500 penyokong malah ada yang 2,000 penyokong hadir untuk memberi semangat kepada parti masing-masing.

“Paling ramai adalah di Baling iaitu hampir 5,000 penyokong namun tiada sebarang insiden tidak diingini dan proses penamaan calon berjalan lancar,” katanya.

Loading...
Terkini