comscore
Tumpuan :
Politik

Undi popular PN dan PH-BN hampir setara – ILHAM Centre

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Meskipun Perikatan Nasional (PN) memenangi 146 kerusi dewan undangan negeri (DUN) berbanding gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) 99 kerusi dalam pilihan raya di enam negeri semalam, undi popular gabungan parti itu berada hampir sama dengan blok Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata secara umumnya, analisis menunjukkan PN memperoleh sebanyak 49.3 peratus undi popular manakala gabungan PH-BN pula, meraih 49.5 undi popular.

“Kita lihat PN hampir menyapu bersih kerusi DUN di Kelantan dan Kedah, selain menyapu bersih di Terengganu, dan memperoleh banyak kerusi di sebahagian Selangor utara dan Seberang Perai, Pulau Pinang. Namun dari segi undi popularnya, ia hampir sama dengan PH-BN yang menang di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Foto hiasan

Mohd Yusri berkata di negeri Pantai Timur, PN berjaya meraih undi popular paling tinggi di Kelantan iaitu sebanyak 69.23 peratus, manakala PH-BN pula 30.54 peratus.

Beliau berkata, di Terengganu, PN berjaya mendominasi undi popular dengan 68.44 peratus, manakala PH-BN pula, 31.48 peratus.

Katanya, faktor utama pecahan undi popular ialah kerana kepadatan pengundi, yang mana kawasan seperti di Selangor dan Pulau Pinang mempunyai pengundi yang lebih padat di satu-satu kawasan DUN.

“Kepadatan pengundi itu berbeza jika dibandingkan dengan PN yang menang di Kelantan, Kedah dan Terengganu…atas dasar itu, banyak kerusi baharu dimiliki PN, namun undi popular masih lebih kurang sama atau sedikit di bawah PH-BN,” katanya.

Beliau berkata, PN mengungguli majoriti undi popular bagi segmen pengundi Melayu dan Muslim, manakala PH-BN pula meraihnya daripada pengundi segmen etnik bercampur, selain undi Melayu di kawasan bandar khususnya di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Loading...
Terkini