comscore
Tumpuan :
Nasional

PU Syed tak gentar disaman Baby Shima 

 

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed, 41, tidak gentar dengan tindakan penyanyi dangdut, Baby Shima memfailkan saman fitnah terhadapnya.

Malah beliau menganggap ia adalah ujian Allah terhadapnya dalam usahanya mencegah kemungkaran di negara ini.

PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkata, dia hanya tahu mengenai saman itu daripada pihak media yang menghubunginya untuk bertanya perkara itu.

“Saya pun baru tahu dari wartawan yang call (hubungi) tadi, mengenai satu saman yang dinamakan terhadap saya oleh seorang artis. Bila saya ‘google’ (cari di Internet), ini hasilnya.

“Adakah ini satu musibah atau anugerah yang Allah hantar memberi ujian seterusnya kepada saya dalam mencegah kemungkaran yang berleluasa dalam kalangan masyarakat di bumi Malaysia ini.

“Para anbiya dan salafuna soleh ada yang mati dibunuh kerana mencegah kemungkaran dan menyatakan yang hak. Kita di akhir zaman ini, secebis dari itu pun masih belum menyamai perjuangan mereka,” tulisnya dalam hantaran di Instagram.

Pada hantaran dibuat itu, PU Syed turut menulis tanda pagar #AdeAmbeTakut yang secara tidak langsung menjelaskan dia sama sekali tidak gentar berhadapan kes saman terbabit.

Menerusi hantarannya itu, rata-rata warga maya yang meninggalkan komen memberi semangat kepada PU Syed untuk lawan di mahkamah kerana mendakwa agamawan terbabit berada di pihak yang benar.

“Jangan gentar. Pahala besar menanti mencegah kemungkaran,” tulis seorang pengguna media sosial.

“Lawan tetap lawan ustaz, Allah bersama orang-orang yang benar,” kata seorang netizen.

“Jangan patah semangat ustaz, kami doakan ustaz,” tulis seorang lagi warga maya

Semalam, Baby Shima menerusi peguamnya, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi memfailkan saman ke atas PU Syed dan Ketua Pemuda PAS Kuantan, Abd Rahman Mat Noor berkaitan ucapan kata-kata fitnah kepadanya.

Menurut Muhammad Noor Azfar, writ saman dan penyataan tuntutan oleh Baby Shima itu dibuat di Mahkamah Tinggi Ipoh serta Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Tuduhan fitnah itu dilaporkan berpunca daripada dakwaan dibuat pendakwah selebriti terbabit kepada Baby Shima yang dikatakan tidak mengerti soal halal dan haram berhubung penganjuran sesuatu konsert.

Loading...
Terkini