comscore
Tumpuan :
Nasional

Pukul teman wanita: Pelakon gagal dihubungi, kemungkinan mohon waran tangkap – Polis 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar

KUALA LUMPUR: Pelakon lelaki yang didakwa memukul teman wanitanya hingga cedera dalam kejadian di Petaling Jaya, Ahad lalu, gagal dihubungi polis bagi proses merakam keterangan.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, pegawai penyiasat kes sudah cuba menghubungi pelakon terbabit termasuk melalui aplikasi WhatsApp, namun tidak dijawab pelakon berkenaan.

“Kita akan membuat panggilan memberi keterangan kepada beliau untuk hadir mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan beliau sedang dikesan untuk penyampaian panggilan itu.

“Jika selepas penyampaian Seksyen 111 KTJ disempurnakan dan subjek masih gagal mematuhi untuk hadir mengikut tarikh dan masa yang ditentukan, kita akan memohon waran tangkap melalui mahkamah,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Beliau berkata, pelakon itu dihubungi selepas permohonan untuk mendapatkan Perintah Untuk Siasatan (OTI) terhadap suspek yang dikemukakan semalam dibenarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Dalam pada itu, polis setakat ini sudah merakam keterangan kakak mangsa sebagai saksi, selain sedang menunggu laporan perubatan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan lengkap,” katanya.

Semalam, Shahrulnizam dilaporkan berkata, pihaknya sudah membuat permohonan untuk mendapatkan OTI dari Timbalan Pendakwa Raya untuk memanggil suspek bagi dirakam percakapan.

Pada 7 Julai lalu, seorang wanita mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, pada jam 3 pagi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.

Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita itu untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara.

Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya.

Secara tiba-tiba, teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini