comscore
Tumpuan :
Nasional

Radius pencarian diperluas, kesan dua lelaki hilang cari siput belitung

Foto: Ihsan Bomba

Oleh: Kumaran Rajamoney

MANJUNG: Misi pencarian dua lelaki yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ketika mencari siput belitung di Sungai Tuntung, Pantai Remis, di sini diteruskan dengan radius pencarian yang lebih luas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan misi pencarian dilakukan dengan radius kawasan pencarian diperbesarkan kepada lima kilometer.

“Dua pasukan telah digerakkan bagi mengesan mangsa iaitu kumpulan Alpha dan Bravo yang masing-masing membuat pencarian menerusi alur Sungai Lada, dan Sungai Tiong.”

“Pasukan pencarian menghadapi kesukaran kerana tiada penemuan jejak baharu susulan dari keadaan air yang pasang. Selain itu, kawasan paya bakau menjadikan usaha pencarian agak terbatas dari segi pergerakan anggota,” katanya.

Usaha pencarian ini juga katanya dibantu oleh orang awam dan komuniti nelayan di kawasan itu, selain menggunakan khidmat unit K9.

Pencarian katanya akan diteruskan sehingga jam 6 petang ini, sebelum menyambung misi pencarian esok sekiranya mangsa masih gagal dikesan.

Operasi dibantu pasukan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, serta orang awam.

Pada Selasa, Abdul Talib Harun, 55 dan rakannya, Azman Mat Jaab, 61, difahamkan keluar melakukan aktiviti mencari siput belitung di Sungai Tuntung.

Anak mangsa kemudiannya membuat laporan polis selepas bapanya tidak pulang dan gagal dihubungi selepas 24 jam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini