comscore
Tumpuan :
Nasional

Rai Pesta Kaamatan dengan bertanggungjawab – Jeffrey Kitingan

Unduk Ngadau Kaamatan (pertandingan ratu cantik tradisi) adalah antara acara yang dinanti-nantikan pada setiap kali Pesta Kaamatan.- Foto fail

KOTA KINABALU: Pesta Kaamatan 2024 perlu diraikan dengan penuh tanggungjawab serta adap yang betul bagi memastikan imej sambutan itu tidak tercalar, kata Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan 2024 dan Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) berkata KDCA akan mengambil langkah tegas bagi memastikan suasana sambutan Pesta Kaamatan di peringkat negeri tahun ini terkawal.

Katanya, peraturan semasa sambutan itu akan dipamerkan di bangunan KDCA di Hongkod Hoisaan dan perlu dipatuhi semua pelawat termasuk pelancong asing.

“Kita ingin mengelak masalah yang mungkin berlaku pada masa lampau, seperti tarian yang tidak sepatutnya dan aktiviti sampai pagi. Kita tidak mahu ini berlaku kerana ini mencemarkan imej kita. Maka kita telah tetapkan peraturan.”

“Ini termasuk peraturan adat apa yang boleh dan tidak boleh, pantang-larang dan akibat kejadian pada masa lampau, kita pastikan ini tidak diulangi,” katanya.

Tambah Jeffrey, semua kampung dan lokasi yang menganjurkan sambutan Kaamatan akan memaparkan peraturan itu sebagai peringatan kepada mereka yang hadir.

Jelasnya, aktiviti di pekarangan KDCA Hongkod Koisaan akan dihadkan setakat jam 12 tengah malam dan jika melebihi masa ditetapkan, pengendali gerai termasuk di rumah-rumah tradisional tidak boleh memainkan muzik dengan kuat atau
mewujudkan gangguan yang tidak perlu.

Jeffrey berkata pelbagai program diatur Pesta Kaamatan 2024 termasuk Unduk Ngadau Kaamatan (pertandingan ratu cantik tradisi), Sugandoi (pertandingan nyanyian rakyat) dan Buvazoi Tavantang (sukan tradisional rakyat).

Tema Pesta Kaamatan tahun ini ialah ‘Kaamatan, Melangkaui Keterjaminan Makanan’ atau dalam bahasa Kadzandusun ‘Kaamatan, Poingalib Kohimaganan Taakanon’.

Sambutan dijadual dilancarkan pada 1 Mei di Dewan Komuniti Ranau dan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kemuncak sambutan akan diadakan di sini pada 30 Mei dan di KDCA Penampang pada 31 Mei,” katanya.

Tambah Jeffrey, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan penutupan Pesta Kaamatan 2024.

Pesta Kaamatan, yang juga dikenali sebagai Tadau Kaamatan atau ‘Magavau’ dalam bahasa Kadazandusun ialah pesta menuai padi, namun masyarakat lama juga melihat perayaan itu sebagai  menghormati ‘Bambazon’ atau semangat padi untuk memberikan tuaian baik kepada penduduk.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini