comscore
Tumpuan :
Nasional

Raja Mohamed Affandi calon terbaik untuk pengundi Parlimen Kemaman

Oleh: Fazli Ahmad

KEMAMAN: Calon Barisan Nasional (BN) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor adalah tokoh terbaik untuk pengundi Kemaman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen terbabit 2 Disember ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bekas panglima angkatan tentera itu, bukan calang-calang orang dan beliau menempuh pelbagai rintangan sebelum dilantik menerajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, jasa bekas panglima itu mempertahankan setiap inci tanah air amat besar dan perlu dihargai.

“Untuk dilantik sebagai panglima perlu melalui menteri pertahanan, kemudian kepada perdana menteri dan seterusnya mendapat perkenaan Yang Di-Pertuan Agong bagi pihak Raja-Raja Melayu,”

“Selepas itu baru dilantik sebagai panglima angkatan tentera,”

“Beliau mempunyai rekod terbaik tiada sebarang kecacatan sekurang-kurangnya orang Kemaman kenang jasa beliau,” katanya ketika berucap di Ceramah Mega Perpaduan Madani PRK Kemaman di Dataran Restoran Cahaya Mesra, Geliga, di sini malam tadi.

Menurut beliau, jika bekas panglima angkatan tentera itu diberi mandat oleh pengundi pada PRK Kemaman Sabtu ini tokoh terbabit tidak sekadar menjadi Ahli Parlimen biasa.

PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRK ini calon BN dicabar Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Parlimen Kemaman mempunyai 141,790 pengundi dan proses pengundian ditetapkan 2 Disember ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini