comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRK Kemaman: Sokongan kepada calon BN semakin bertambah 

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Penerimaan masyarakat terhadap calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dilihat semakin positif.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, calon BN itu berada di landasan yang tepat dan momentum sokongan pengundi juga luar biasa.

“Sudah dua kali saya turun di sini dan nampak daripada segi gerak kerja, pendekatan masyarakat terhadap Tan Sri Affandi ini sangat bagus. Saya nampak mereka (masyarakat) boleh terima kerana dia bukan ‘pure politician’.

“Walaupun seorang bekas Panglima Angkatan Tentera (ATM), tetapi sangat merendah diri dan sebab itu kita mahu beri dia peluang untuk duduk di Parlimen serta membawa isu-isu di sini ke Dewan Rakyat, selain Affandi juga mempunyai bakat untuk membantu kita di Terengganu”, katanya.

Datuk Seri Johari yang turun padang berkempen bersama Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman, menyeru pengundi di Kemaman memberi peluang kepada Tan Sri Affandi kerana kepakaran yang dimiliki sepanjang beliau berkhidmat dalam Angkatan Tentera amat diperlukan negara.

Sementara itu Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata berlainan pula dengan lawan kepada Raja Mohammed Affandi yang kini memikul tugas sebagai Menteri Besar Terengganu.

“Dia seorang Menteri Besar dan sudah tentu banyak kawasan dalam negeri ini untuk dipantau dia boleh teruskan khidmat bakti menjaga 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan Parlimen.

“Dah ada lapan (Parlimen) jadi bagilah satu kepada calon BN supaya sama-sama mendapat manfaat di peringkat Persekutuan, bukan sahaja orang Kemaman tetapi juga Terengganu itu sendiri,” ujarnya lagi.

Dalam siri kempen pagi tadi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani meluangkan masa melawat beberapa kawasan di daerah Kemaman dan turut menziarahi pengundi yang uzur.

Di Bukit Mentok, beliau bersama jemaah lain menunaikan solat jenazah seorang warga emas yang meninggal dunia akibat sakit tua.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini