comscore
Tumpuan :
Nasional

Rakaman CCTV kereta suspek pecah masuk rumah Khuzaimi tersebar

Foto tular

KUALA LUMPUR: Setelah beberapa hari rakaman litar tertutup (CCTV) membabitkan tonggak Harimau Malaya Faisal Halim tersebar di media sosial, kini giliran video membabitkan kediaman pertahanan Selangor FC Khuzaimi Piee pula menjadi tumpuan.

Ketika ini, sekurang-kurangnya empat rakaman CCTV dipercayai di sekitar rumah Khuzaimi dikesan di media sosial seperti Whatsapp dan Telegram.

Menerusi video berkenaan menunjukkan individu yang memecah masuk rumah pertahanan berusia 30 tahun itu dipercayai menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima.

Malah, dalam video itu juga memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal dipercayai milik Khuzaimi selepas memecah masuk kediaman pemain itu.

Malah, terdapat juga rakaman menunjukkan MPV itu masuk dan keluar melalui pondok pengawal keselamatan di kediaman pemain itu.

Namun, sehingga kini tiada pihak berkaitan tampil untuk mengesahkan rakaman CCTV terbabit adalah benar membabitkan kejadian pecah rumah Khuzaimi.

Sebelum ini, kediaman Khuzaimi dilaporkan dipecah masuk ketika beliau keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor di Shah Alam.

Menurut laporan polis yang beliau kongsi di Instagram, Khuzaimi kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport antarabangsanya.

Sementara itu, Khuzaimi ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan, rakaman CCTV berkenaan adalah di kawasan perumahannya yang diambil selepas insiden pecah rumah itu.

“Dalam CCTV itu menunjukkan suspek membawa lari motosikal saya sebaik pecah masuk kediaman.

“Memang kenderaan itu (Toyota Estima) berhenti depan rumah saya sebelum suspek masuk,” kata Khuzaimi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini