comscore
Tumpuan :
Nasional

Rakyat Malaysia dinasihatkan elak ke Gaza dan elak jadi mangsa ‘scammer’

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR: Atas faktor keselamatan, rakyat Malaysia dinasihati tidak membuat pergerakan ke kawasan konflik di Gaza, Palestin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau rapi aspek itu.

“PDRM sudah menggerakkan elemen berkaitan khususnya cawangan khas dalam memastikan tiada pembabitan rakyat Malaysia sehingga mewujudkan risiko keselamatan diri.

“Iringan doa dan sokongan moral rakyat Malaysia adalah solidariti terbaik kepada warga Palestin yang ditindas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihati masyarakat yang ingin menyalurkan sebarang bentuk bantuan supaya menyemak kesahihan wakil yang menguruskan sumbangan serta mengambil langkah teliti demi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan ‘scammer’.

Menurut Razarudin, masyarakat perlu berwaspada untuk mengelak daripada terjerat dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang cuba mengaut keuntungan.

“PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) akan meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pihak dikesan cuba mengambil kesempatan,” katanya.

Katanya, PDRM juga akan mengambil langkah untuk memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan atas belas ihsan rakyat Malaysia serta memastikan keselamatan rakyat dalam usaha memberikan sokongan kepada rakyat Palestin

Harian Metro semalam melaporkan, Pengarah JSJK Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya faham rakyat di negara ini sangat dermawan dan apabila berlaku sebarang insiden mereka sanggup membantu namun ada juga diambil kesempatan pihak bertanggungjawab.

Kata beliau, sekiranya ada meminta sumbangan derma ke Palestin sila buat pengesahan terlebih dahulu kerana walaupun jumlah derma itu hanya RM100 atau RM200 tetapi ia tetap membuka ruang kepada penipuan.

Loading...
Terkini