comscore
Tumpuan :
Nasional

Rasuah projek lebuh raya: Ketua penolong pengarah badan berkanun pula direman

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang ketua penolong pengarah badan berkanun kerana dipercayai turut menerima rasuah lebih RM146,000 daripada satu syarikat sebagai dorongan mendapatkan kerja-kerja bagi projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1 bilion.

Perintah reman selama empat hari sehingga Isnin ini terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.

Menurut sumber, suspek yang berkhidmat di badan berkanun itu telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM sekitar jam 10 malam tadi.

“Suspek dipercayai menerima wang rasuah daripada satu syarikat sebagai balasan bagi mendapat kontrak kerja membabitkan pembinaan sebuah lebuh raya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Selasa lalu, SPRM menahan reman tiga pegawai syarikat konsesi lebuh raya termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) selama empat hari, selain turut menahan reman seorang lagi pegawai syarikat berkenaan selama tiga hari bermula Rabu lalu.

Kesemua suspek dipercayai telah meminta dan menerima rasuah daripada syarikat-syarikat yang mengambil alih kerja-kerja di dua projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang masing-masing bernilai lebih RM1 bilion dan kira-kira RM670 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini