comscore
Tumpuan :
Nasional

Redah api nak selamatkan adik

BATU PAHAT: Sanggup bergadai nyawa menyelamatkan adik berusia 9 bulan daripada rentung.

Murid tahun 6 Nor Azmi Khairul Azri, nekad meredah api sebaik menyedari adiknya Haziq ‘tertinggal’ dalam rumah mereka yang terbakar dalam kejadian petang semalam, di Kampung Parit Suratman, Parit Yaani.

Menceritakan kejadian itu, abangnya, Hazman, 14, yang melecur di kedua-dua tapak kaki berkata, dia terlebih dahulu keluar manakala ibunya, Nor Izura Maat, 36, sibuk menyelamatkan barangan lain dalam rumah itu.

“Ketika itu, barulah ibu teringat adik masih dalam rumah dan Nor Azmi segera masuk meredah api sedang menjulang lalu mendukung adik keluar. Saya tidak boleh berlari lagi ketika itu kerana tapak kaki sudah melecur.

“Pada masa kejadian, ibu menjerit supaya kami keluar menyelamatkan diri manakala Haziq sedang bermain di ruang tamu. Masing-masing ketika itu dalam keadaan kelam-kabut hingga terlupa adik masih lagi berada dalam rumah,” katanya.

Hamzan dan ibunya melecur kedua-dua tapak kaki kerana terpijak tikar getah panas manakala Nor Azmi hanya cedera di ibu jari kakinya.

Pelajar Tahfiz Darul Qura itu berkata, sebelum kejadian dia bersama adik yang lain berada di rumah dan terhidu bau asap.

“Saya ternampak warna kemerahan dari bilik saya dan belum sempat membuka pintu, api sudah menjulang. Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana api marak begitu cepat.

“Mujurlah semua ahli keluarga kami selamat walaupun rumah pusaka ini musnah sama sekali. Kami reda dengan kejadian itu dan menganggap ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, sepupu kepada Hazman, Khairul Hamim, 34, berkata, malam sebelum kejadian, rumah itu mengadakan tahlil berikutan kematian ibu angkat Nor Izura.

“Tak sangka, majlis tahlil pada malam itu adalah terakhir di rumah ini. Ini rumah peninggalan arwah datuk yang berusia lebih 40 tahun,” katanya.

Loading...
Terkini