comscore
Tumpuan :
Nasional

Remaja lega peroleh kewarganegaraan selepas 16 tahun menunggu

Yu Xiang menunjukkan MyKad diperolehnya pada 3 November lalu kepada Cheng Lin dan Teresa Kok. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Usaha seorang ibu tunggal untuk mendapatkan kewarganegaraan anaknya selepas berjuang selama 16 tahun berakhir pada 3 November lalu.

Yeap Cheng Lin berkata, beliau menerima berita permohonan anaknya, Zheng Yu Xiang, 19, untuk menjadi warganegara Malaysia diluluskan pada 28 Mac lalu, manakala MyKad dikeluarkan pada 3 November lalu.

Beliau berkata, usahanya untuk mendapatkan kewarganegaraan Yu Xiang bermula selepas dia bercerai dengan suaminya yang juga warga China pada 2007.

“Saya mengambil keputusan membawa Yu Xiang pulang ke Malaysia yang ketika itu berusia tiga tahun.

“Selepas kembali ke tanah air, saya cuba mendapatkan kewarganegaraan mengikut Perkara 15 (2) iaitu permohonan warganegara bagi anak yang lahir di luar negara oleh wanita rakyat Malaysia, tetapi ditolak sebanyak empat kali.

“Kali pertama permohonan dibuat pada 2007, manakala kali ketiga dan keempat adalah pada 2015. Walaupun saya mendapat sokongan daripada beberapa VIP, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan juga Ahli Parlimen ia masih tidak berjaya,” katanya pada sidang media bersama Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, di pejabat sementara Ahli Parlimen Seputeh di Jalan Kuchai Lama, di sini, hari ini.

Cheng Lin berkata, jika Yu Xiang tidak berjaya mendapatkan kewarganegaraan, beliau tidak dapat tinggal di Malaysia kerana berusia lebih 18 tahun dan visa pelajarnya sudah luput pada September lalu.

“Setiap tahun kami kami perlu memperbaharui visa pelajar Yu Xiang bagi membolehkan dia tinggal di Malaysia. Mengikut undang-undang, Yu Xiang perlu mengikut kewarganegaraan ayahnya iaitu warga China.

“Bagi mendapatkan kewarganegaraan Malaysia, saya meminta bantuan Kok dan pembantunya, Alice Choo yang kemudian membuat tindakan susulan dengan agensi berkaitan hingga berjaya pada 28 Mac lalu,” katanya.

Yu Xiang pula berkata, walaupun tinggal di sini sejak berusia tiga tahun, tetapi disebabkan tidak mempunyai kewarganegaraan beliau berasa seperti orang asing.

“Saya tetap dilihat sebagai orang asing walaupun rupa, percakapan dan hidup saya seperti orang Malaysia lain. Kini saya lega kerana mendapat kewarganegaraan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini