comscore
Tumpuan :
Nasional

Rezeki bakal tunai haji diusia 16 tahun

Irfan Hamdani Mohd Noh teruja bakal menunaikan haji tahun ini bersama ayah dan ibu.- Foto: NSTP

KUANTAN: Seorang remaja berusia 16 tahun, Irfan Hamdani Mohd Noh tidak menyangka bakal menunaikan haji tahun ini dan lebih manis dapat melaksanakan Rukun Islam kelima itu bersama ayah dan ibu.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman, Bentong itu, berkata doanya untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu dimakbulkan terutama bersama keluarga tersayang.

Katanya, pengalaman menunaikan umrah pada 2019 memberikan lebih keyakinan walaupun perasan gementar itu tetap ada kerana mengerjakan haji buat kali pertama.

“Setakat ini, segala persiapan sudah dilakukan bukan sahaja daripada segi mental, malah fizikal sepanjang berada di sana (Makkah dan Madinah) nanti.

“Sebenarnya saya gembira kerana menjadi antara bakal jemaah haji termuda daripada 1,588 jemaah di Pahang.

“Di sekolah ada rakan yang sudah memanggil saya dengan gelaran `Haji’ sebaik mengetahui akan menunaikan haji tahun ini,” katanya Ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Dan Penyampaian Barakah Haji Pahang 2024 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, ayah dan ibu Irfan Hamdani, Mohd Noh Abidin, 52 dan Norlela Samat, 51 gembira kerana dapat menunaikan haji bersama-sama.

Norlela berkata, pada awalnya dia dan suami dimaklumkan bakal jemaah haji menunaikan Rukun Islam kelima itu sebelum membuat rayuan kerana Irfan Hamdani adalah anak tunggal mereka.

“Alhamdulillah, rayuan itu diterima dan kami akan berangkat ke Tanah Suci pada 12 Mei depan dan berharap segalanya dipermudahkan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini