comscore
Tumpuan :
Nasional

RM21.5 juta naik taraf 58 klinik dan fasiliti kesihatan daif di Sabah

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyempurnakan Majlis Perasmian Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia – Sabah Maju Jaya 2024, di sini, hari ini.- Foto: NSTP

TAWAU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang dan akan menaik taraf 58 klinik dan fasiliti kesihatan daif di Sabah membabitkan peruntukan berjumlah RM21.5 juta.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu sebanyak 15 projek telah siap sepenuhnya manakala baki 43 lagi sedang dalam proses pelaksanaan dan dijangka dapat disiapkan menjelang penghujung bulan November tahun ini.

Dalam pada itu katanya, Hospital Tawau dan Hospital Dutches of Kent Sandakan juga akan turut dinaiki taraf kepada status hospital negeri (Hospital Utama Berpakar) yang setaraf dengan Hospital Queens Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu.

“Ia bagi merapatkan jurang fasiliti kesihatan yang agak besar dengan jumlah kepakaran yang bakal mengisi perjawatan termasuk jumlah jururawat yang ditempatkan selepas selesai menjalani latihan asas (post basic training),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia – Sabah Maju Jaya, Negeri Sabah 2024, di sini, hari ini.

Terdahulu dalam program itu, beliau menyempurnakan Flag Off Mobilisasi Madani Afiat dan berjalan kaki 10,000 langkah, di Padang Perbandaran Tawau, di sini.

Mengulas lanjut mengenai program itu, beliau menjelaskan Sabah adalah negeri pertama yang melaksanakan program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi tahun 2024 dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat.

Katanya, penganjuran program itu bertujuan merakyatkan (KKM) dengan merealisasikan reformasi kesihatan dalam Tonggak Kedua, Kertas Putih Kesihatan 2023 yang menyarankan peralihan fokus penyampaian perkhidmatan kesihatan daripada ‘sick care’ kepada ‘health care’.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini