comscore
Tumpuan :
Nasional

RM6.5 bilion peruntukan pembangunan sekolah daif selama lapan tahun

Foto : Kementerian Pendidikan (KPM) / Facebook

Oleh : Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM6.5 bilion bagi pelaksanaan projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah sepanjang tempoh lapan tahun sejak 2016 hingga tahun ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini memaklumkan peruntukan tersebut melibatkan sejumlah 1,002 projek di seluruh negara.

“Komitmen kerajaan untuk menoktahkan isu sekolah daif diteruskan lagi dalam Rolling Plan 2023 (di bawah Rancangan Malaysia Ke-12). Sejumlah RM923.97 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 417 projek baharu dan sambungan di seluruh negara,” menurut hantaran itu.

Mengulas lanjut, KPM berkata usaha kementerian untuk menambah baik akses dan fasiliti pendidikan di Sabah dan Sarawak dibuktikan menerusi pelaksanaan 327 projek pembangunan bangunan daif di sekolah atau 78 peratus daripada keseluruhan projek yang telah diluluskan dalam pelbagai peringkat pelaksanaan pada tahun ini.

Berdasarkan infografik yang dimuat naik bersama hantaran berkenaan, pelaksanaan projek pembangunan sekolah daif tahun ini turut membabitkan 19 projek di Kedah, 13 projek di Perak dan 12 projek di Johor.

Selain itu, 10 projek di Kelantan, masing-masing lapan projek di Terengganu dan Selangor, Pahang (6), Negeri Sembilan (5) serta masing-masing tiga projek di Melaka, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

“Seperti yang sentiasa ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek usaha untuk menyelenggara dan menaik taraf bangunan daif di sekolah sentiasa menjadi keutamaan KPM demi mencapai hasrat akses pendidikan yang berkualiti untuk semua anak Malaysia, generasi yang mewarisi Malaysia MADANI,” menurut hantaran itu.

Artikel berkaitan : [VIDEO] Pembangunan sekolah daif menjadi antara aspirasi penting KPM

Loading...
Terkini