comscore
Tumpuan :
Nasional

RM9 bilion nilai kontrak ditandatangani pada DSA NATSEC Asia 2024

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan menandatangani kontrak bernilai hampir RM9 billion sepanjang Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata 12 daripada 14 kontrak berkenaan ditandatangani tiga agensi bawah KDN, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan nilai RM1.57 bilion; Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) RM529.66 juta dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) RM52.35 juta.

“Kontrak termasuk untuk pembelian aset pengangkutan pelbagai guna untuk PDRM, Kapal Induk PDRM, kamera badan untuk anggota PDRM dan enam unit helikopter untuk kegunaan Maritim Malaysia,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup DSA dan NATSEC 2024 di sini, hari ini.

“Kesemua perolehan ini adalah signifikan sebab enam unit helikopter baharu adalah untuk membantu tugas kawalan maritim seluas 590,000km persegi akan dapat diurus dengan lebih baik oleh Maritim Malaysia.

“Perolehan unit kamera badan akan meningkatkan tahap integriti PDRM dan berupaya untuk meningkatkan keyakinan orang awam terhadap PDRM,” katanya.

Beliau berkata keberkesanan proses penguatkuasaan undang-undang juga akan dapat ditingkatkan dengan perolehan aset-aset baharu.

Sementara itu Kementerian Pertahanan menandatangani 40 memorandum persefahaman (MoU) berjumlah RM7.3 bilion di DSA dan NATSEC 2024 hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perolehan itu bertujuan memastikan kesiapsagaan angkatan dan keupayaan anggota untuk melaksanakan tugas dan kewajiban menjaga pertahanan dan kedaulatan negara.

“Malaysia bersempadan dengan lima buah negara; Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei dan Filipina.

“Operasi rondaan dilakukan 24 jam, tujuh hari seminggu, jadi kita perlu kelengkapan yang boleh bantu anggota jalankan tugas dengan berkesan,” katanya pada sidang media sama.

Beliau berkata kontrak yang ditandatangani termasuk untuk kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan, pembelian aset dan menggantikan sistem pengurusan trafik udara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini