comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Rumah dibeli RM400,000, mendap, runtuh 

JOHOR BAHRU: 11 sekeluarga di Larkin Jaya terpaksa menyewa ekoran bahagian tepi rumah yang dibeli dengan harga RM400,000 mendap dan runtuh sedalam 2.1 meter.

“Mujur ketika kejadian kami berada di bahagian lain rumah dan segera keluar menyelamatkan diri bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” kata Zulkefly Mustaffa.

Zulkefly 59, berkata, kejadian berlaku pada jam 3 petang Khamis lalu ketika hujan lebat.

Jelasnya tanah yang mendap itu didapati mengelongsor ke bawah tebing yang bersambungan dengan longkang besar berhampiran.

Katanya, kesannya turut dapat dilihat di bahagian dalam rumahnya.

“Kami membeli rumah ini pada 2019  daripada pemilik lama dan pada awalnya ia tidak menunjukkan sebarang masalah ketika kami 11 sekeluarga berpindah ke sini.

“Bagaimanapun sejak penghujung tahun lalu, bahagian tepi rumah itu yang terletak bersebelahan tebing menunjukkan tanda-tanda retak dan mendap serta ia semakin membimbangkan,” katanya.

Peniaga roti canai itu berkata, kejadian pertama berlaku pada 23 Januari lalu dan ia berulang termasuk pada minggu lalu.

Menurutnya, sehingga kini keluarganya mengeluarkan kos kira-kira RM20,000 untuk membaiki kerosakan rumah itu bulan lalu serta mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak Januari lalu.

“Hanya rumah kami yang terjejas kerana terletak bersebelahan dengan tebing berbanding rumah jiran lain dalam keadaan baik.

“Kami tidak pasti sama ada terdapat kebocoran paip di bahagian bawah tanah namun rumah kami semakin mendap.

“Saya berharap agar pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan segera termasuk membaiki dan membina semula struktur tebing berkenaan agar tidak berlaku lagi mendapan tanah di kawasan ini.

“Kami tidak tenang pada setiap saat di sini dan terpaksa meninggalkan rumah ini serta menyewa rumah sebanyak RM1,500 sebulan di Taman Setia Indah di sini sehingga isu ini diatasi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini