comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Rumah musnah terbakar, 14 sekeluarga tinggal sehelai sepingang

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Padungan dikejarkan ke Kampung Pulo Ulu, Petra Jaya selepas menerima maklumat kebakaran jam 4.22 pagi. – FOTO: NSTP

Oleh Kadir Edison

KUCHING: Seramai 14 penghuni sebuah rumah di Kampung Pulo Ulu, Petra Jaya, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.22 pagi.

Ekoran itu, 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Padungan diarah ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya.

“Turut musnah dalam kebakaran itu ialah sebuah kenderaan dipercayai milik salah seorang mangsa yang diparkir di rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, api dapat dikawal sejam kemudian sebelum operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya jam 6.39 pagi tadi.

Katanya, kesemua penghuni rumah terbabait iaitu 10 dewasa dan empat kanak-kanak sempat menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa,” katanya.

Untuk rekod, ia merupakan insiden kedua berlaku di kampung berkenaan selepas kejadian pertama pada 11 Disember lalu yang memusnahkan lima buah rumah sekaligus menjejaskan 33 penghuninya.

Loading...
Terkini