comscore
Tumpuan :
Nasional

Jawatankuasa penyelaras projek PETRA di Sarawak diwujudkan

Datuk Seri Fadillah Yusof menyampaikan cenderahati kepada Tan Sri Abang Johari Abang Openg selepas mesyuarat di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching, hari ini. – FOTO: Ihsan Pejabat TPM.

KUCHING: Sebuah jawatankuasa penyelarasan antara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan kerajaan negeri Sarawak akan diwujudkan bagi memastikan program dan projek dapat dirancang dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknnya demi kemaslahatan rakyat Sarawak dan negara.

Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat antara PETRA dengan kerajaan negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Rombongan PETRA diketuai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof manakala Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg bagi pihak kerajaan Sarawak.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Premier yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi.

Sebelum itu, Fadillah yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak turut mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandaraya Kuching di Jabatan Pengairan Negeri Sarawak.

Beliau diberi taklimat berhubung reka bentuk RTB Bandaraya Kuching sebelum projek dilaksanakan agar manfaat projek dapat disasarkan kepada masyarakat dengan tepat dan berkesan.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meluluskan sebanyak 46 projek bernilai RM6.01 bilion di bawah sektor air di Sarawak. Foto fail bandaraya Kuching.

Selesai taklimat itu, Fadillah meneruskan lawatan ke Wisma Persekutuan Sarawak di Bangunan Sultan Iskandar untuk mendengar taklimat mengenai projek-projek oleh agensi pelaksana Kerajaan Persekutuan di Sarawak.

Sebanyak 46 projek diluluskan di bawah sektor air di Sarawak menerusi PETRA, iaitu 33 projek sambungan dan 13 projek baharu dengan kos sebanyak RM6.01 bilion.

Jumlah yang diluluskan bagi pelaksanaan tahun 2024 adalah sebanyak RM298 juta merangkumi projek perlindungan banjir dan banjir pantai, hakisan pantai, pemuliharaan muara, kajian pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management – IRBM).

Turut diluluskan, projek pembangunan loji rawatan kumbahan, loji rawatan enapcemar, pembangunan sistem pembetungan dan menaik taraf loji rawatan air.

Fadillah berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan kelestarian dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan untuk menjamin impak yang maksimum kepada rakyat negeri Sarawak.

“Pemantauan yang komprehensif dan berterusan adalah kunci utama kepada pembangunan negara yang seimbang seperti mana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Gagasan berteraskan konsep Malaysia MADANI,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini