comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Runtuhan bangunan resort: Dua notis henti pembinaan dikeluarkan MDB 

 

KUALA TERENGGANU: Majlis Daerah Besut (MDB) mengeluarkan dua notis berhenti kerja pembinaan bangunan resort di Pulau Perhentian sebelum berlakunya runtuhan, Khamis lalu.

Yang Dipertua MDB, Mohd Sukeri Ibrahim berkata, notis pertama dikeluarkan pada 2020 dan disusuli notis kedua, tahun lalu.

Katanya, notis dikeluarkan selepas didapati wujudnya projek pembinaan bangunan secara haram pada 2020.

“Walaupun bangunan itu didirikan di atas tanah persendirian, tetapi setiap projek akan dilaksanakan perlu mendapat kelulusan pelan bangunan daripada MDB,” katanya ketika dihubungi, hari ini, bagi mengulas dakwaan MDB gagal mengambil tindakan awal.

Khamis lalu, bangunan dalam pembinaan runtuh menyebabkan seorang pekerja maut manakala empat lagi pekerja terselamat.

Mengulas lanjut, Mohd Sukeri berkata, pengusaha resort berkenaan masih menjalankan projek pembinaan walaupun notis dikeluarkan.

Katanya, pengusaha resort berkenaan membuat permohonan untuk mendapatkan kelulusan pelan bangunan dan kebenaran merancang pada Ogos 2021.

Bagaimanapun, notis pemberhentian kerja pembinaan dikeluarkan pada tahun lalu selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) MDB ke-14 pada 12 September 2021 menolak permohonan atas beberapa sebab termasuk gagal mengemukakan pelan secara kekal.

“Kita sedang mengadakan perbincangan dengan pegawai undang-undang untuk meneliti akta yang boleh dikenakan ke atas pengusaha resort berkenaan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

 

Loading...
Terkini