comscore
Tumpuan :
Nasional

Runtuhan tebing: MPSepang diarah segera pasang jeriji besi

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

CYBERJAYA: Kerja-kerja baik pulih runtuhan tebing yang berlaku di perumahan mewah Cassia Garden Residence, di sini akan dimulakan seawal hari ini dan dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Arahan itu diberikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu kepada Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bagi mengelak runtuhan berlaku lagi berikutan pergerakan tanah masih aktif.

“Kita akan ambil tindakan segera, saya sudah arahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memasang jeriji besi dahulu, dan kemudian kerja-kerja lain akan dilihat  dari semasa ke semasa.

“Kita jangkakan dalam tempoh sebulan ini dapat disiapkan termasuk menimbus balik tanah dan memasang balik saluran pembetung yang runtuh,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau keadaan runtuhan tebing, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Sepang itu berkata, pihak MPSepang akan mengetuai kerja-kerja pembaikan dan dipantau oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ini termasuk memberi kelulusan terus peruntukan di bawah kerja-kerja kecemasan.

Tambahnya, berdasarkan pemerhatian awal, tiada keperluan untuk penduduk berpindah kerana ia masih selamat memandangkan jarak antara rumah berhampiran dengan kawasan runtuhan adalah kira-kira enam meter.

“Kita akan beri perhatian apa-apa berkaitan tanah runtuh di peringkat KPKT kerana sudah mendapat mandat daripada (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim apa sahaja melibatkan tanah runtuh terutama membabitkan nyawa mesti diambil tindakan,” katanya.

Terdahulu, Buletin TV3 melaporkan, kira-kira 1,000 penduduk di perumahan itu tidak lena tidur lebih dua minggu sejak runtuhan tebing dikesan pada 25 April lalu.

Lebih membimbangkan, runtuhan tebing itu sudah membentuk kawah sedalam lapan hingga 10 meter atau bersamaan tinggi bangunan tiga tingkat yang kini semakin menghampiri kawasan kediaman penduduk.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini