comscore
Tumpuan :
Nasional

RUU GEG dibentang bulan depan, isu kompaun dijangka dapat bantahan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan dijangka berdepan bantahan segelintir Ahli Parlimen berhubung isu kompaun dan kuantum denda.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bagaimanapun berkata, pihaknya sedia berbincang untuk mendapatkan jalan terbaik bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

“Isu kompaun (dijangka tidak dipersetujui) kerana ada berpandangan contohnya anak-anak ini (generasi muda) tidak perlu kompaun. Mereka hanya perlu dinasihati. Kalau ada kesalahan merokok, hanya diberikan khidmat komuniti, ada pelbagai pandangan lagi,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Persediaan Persidangan Pihak-Pihak (COP) kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) dan Mesyuarat Pihak-Pihak kepada Protokol untuk Menghapuskan Perdagangan Haram Produk Tembakau bagi sesi ketiga, di sini hari ini.

RUU itu bakal melarang penjualan dan penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik kepada individu yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007.

Sebelum ini, media melaporkan, pengurangan kadar denda kepada RM500 berbanding RM5,000 dalam draf awal, adalah antara enam pindaan dibuat terhadap RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Menerusi RUU baharu itu, kuasa penguatkuasaan yang luas seperti diperuntukkan dalam draf terdahulu, dihadkan kepada bagi tujuan pengilangan, pembungkusan, penyimpanan, penyerahan, pengedaran atau penjualan produk.

Bagaimanapun, pada 12 Jun lalu selepas dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, RUU terbabit dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen.

Ia adalah kali kedua RUU yang turut dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) itu dirujuk kepada JKPK berkenaan selepas pertama kali dibentangkan oleh Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin, pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, JKPK Kesihatan Parlimen akan bermesyuarat petang ini bagi berbincang dan memuktamadkan hasil dapatan berkaitan RUU terbabit.

“Kita terbuka dengan sebarang pindaan yang mereka akan cadangkan, mungkin mereka melihat dari sudut kompaun dan sebagainya kerana bagi mereka itu adalah penting.

“Kita akan melihat sama ada cadangan itu boleh kita cari jalan penyelesaian terbaik iaitu antara cadangan mereka dan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Ditanya tahap keyakinan beliau untuk mendapat persetujuan Ahli Parlimen terhadap RUU berkenaan, Zaliha berharap untuk memperoleh dua pertiga sokongan meskipun mengakui terdapat segelintir yang tidak bersetuju.

“Bagi saya apa pun yang terbaik ialah kita selesaikan masalah dan bentang (bagi bacaan kali kedua) pada Oktober ini dan dapat persetujuan daripada semua Ahli Parlimen,” katanya.

Loading...
Terkini