comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah jamin jaga komuniti Bajau Laut seperti digariskan undang-undang antarabangsa

Masyarakat Bajau Laut di Semporna.-Foto hiasan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan penjagaan akan diberikan kepada bangsa Bajau Laut atau Pala’u seperti digariskan dalam undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata, semua pihak harus memahami bahawa Pala’u mempunyai perbezaan dengan golongan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kita mesti tahu Pala’u adalah (bangsa) yang tidak mempunyai negara. Dalam undang-undang antarabangsa (piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), di mana saja Pala’u ini datang, maka negara itu mesti menjaga mereka.

“Kita tidak boleh samakan Pala’u yang tidak mempunyai kewarganegaraan ini dengan PATI sebab PATI boleh dihantar pulang ke negara asal, tetapi Pala’u tiada negara.

“Jadi jika mereka ada di negara kita atau di Sabah, kita mesti jaga kepentingannya. Kalau mereka pergi ke perairan antarabangsa, seperti ke Indonesia atau Filipina, maka Kerajaan Indonesia atau Filipina akan menjaga mereka. Jadi kita jangan keliru mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Graduasi 2024 Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia Timur di Dewan Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya merekodkan sekitar 27,000 orang Pala’u berada di Sabah.

Media sebelum ini melaporkan terdapat beberapa pautan video pengusiran dan rumah komuniti Pala’u dibakar di kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) Semporna.

Pautan yang tular itu mengundang pelbagai reaksi daripada ramai pihak sehingga ke peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, kerajaan negeri tampil menjelaskan pihaknya melaksanakan operasi perobohan dan pengosongan rumah di kawasan TMTS Semporna, selain menafikan dakwaan membakar rumah komuniti Pala’u.

Pelaksanaan operasi itu dilakukan atas faktor keselamatan susulan kegiatan jenayah rentas negara di lokasi penempatan tanpa izin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini