comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah mahu lantik penaksir bebas jika rundingan tuntutan 40 peratus hasil gagal

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun ketika persidangan dewan undangan negeri (DUN) Sabah. – FOTO: Ihsan Kementerian Kewangan Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menimbang untuk melantik penaksir bebas berhubung tuntutan 40 peratus hasil yang dikutip di negeri ini jika tiada sebarang persetujuan dicapai dalam rundingan mengenai perkara itu dengan kerajaan persekutuan pada Julai depan.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata kerajaan negeri akan meneruskan tuntutan secara berfasa dan membuat andaian sendiri jumlah hasil yang sepatutnya dibayar kerajaan pusat jika rundingan sekarang gagal.

Katanya, setakat ini sudah lapan kali kerajaan negeri meminta data daripada kerajaan persekutuan bagi menentukan jumlah yang sepatutnya dituntut kerajaan negeri namun tiada sebarang jawapan diberikan.

“Setelah selesai Julai ini seperti kita setuju berdasarkan tempoh diberi Timbalan Perdana Menteri II sejak Julai tahun lalu dan kita ambil itu sebagai satu janji; jika tiada juga persetujuan, terserah kepada kita untuk melantik penaksir bebas.”

“Sementara itu, kita juga sudah menyatakan selepas Julai nanti, kita akan membuat tuntutan secara berfasa tanpa data yang lengkap daripada kerajaan persekutuan.”

“Kita akan buat andaian sendiri berapa (jumlah), pertama berdasarkan data yang diumumkan oleh agensi kerajaan persekutuan sendiri dan kedua kita akan buat kiraan sendiri berapa jumlah yang sepatutnya kita tuntut,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (UMNO – Lamag) mengenai status terkini berhubung langkah kerajaan negeri menuntut 40 peratus hasil negeri seperti termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Tuntutan itu adalah antara perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih dalam rundingan dengan kerajaan persekutuan dan dijangka diputuskan dalam tempoh setahun sejak Julai tahun lalu.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada ahli dewan undangan negeri (ADUN) dilantik, Datuk Yong Teck Lee mengenai kesukaran isu itu, Masidi menjelaskan isu berkenaan sebenarnya tidak sukar memandangkan ia sudah termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

“Saya setuju isi ini tidak terlalu sukar kerana apa yang perlu dibuat ialah mengumpulkan data sahaja. Jadi, kita berharap rakan ahli parlimen dari Sabah dapat menyuarakan ini di parlimen,” katanya.

Mengenai bayaran interim RM300 juta daripada kerajaan persekutuan yang dipersetujui kerajaan negeri, Masidi berkata jumlah itu adalah bayaran sementara ketika rundingan mengenai tuntutan 40 peratus belum dimuktamadkan.

Katanya, jumlah itu bukan yang terakhir, malah katanya tuntutan 40 peratus itu juga termasuk jumlah bayaran yang tidak pernah dibayar kerajaan persekutuan kepada Sabah selama ini.

Masidi juga berkata beliau sentiasa terbuka dan boleh dihubungi pada bila-bila masa jika ada wakil rakyat mahu mendapatkan maklumat lanjut berhubung tuntutan perkara itu terutama untuk dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini