comscore
Tumpuan :
Nasional

Paras Sungai Muda turun mendadak, 251,800 akaun berdepan gangguan bekalan air

FOTO: fail Sungai Muda

SUNGAI PETANI: Penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak mengakibatkan sebanyak 251,800 akaun di daerah Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling terjejas.

Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam kenyataannya berkata gangguan bekalan air bermula pada jam 7.45 tadi berikutan henti tugas operasi Loji Rawatan Air (LRA) Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech.

Henti tugas ini dijangka selesai sehingga paras Sungai Muda kembali stabil.

“Sebanyak 171,800 akaun terjejas di Kuala Muda manakala 80,000 akaun di Kulim dan sebahagian di kawasan Baling.

“Agihan semula bekalan akan dilaksanakan sebaik sahaja kerja kecemasan itu selesai,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan antara kawasan yang terjejas adalah Sidam Kiri, Pinang Tunggal, Tikam Batu, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Sungai Lalang, Bandar Amanjaya, Semeling dan Taman Lembah Bujang.

Selain itu katanya Taman Pinang Tunggal, keseluruhan kawasan Tikam Batu, Taman Desa Meranti, Kawasan Industri Kemuning, Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Taman Sejahtera dan Taman Berjaya.

“Kawasan terjejas juga adalah Sungai Lalang, Bedong, Kampung Sungai Toh Pawang, seluruh kawasan pekan Sungai Petani, Amanjaya Zon Teratai, Cempaka, Melati, Mawar dan Kenanga.

“Bandar Laguna Merbok, Taman Ria, Taman Nuri, Kampung Ceruk Kelubi, Kampung Sungai Pasir, Kampung Teluk Wang, Kampung Bukit Kechil, Taman Cahaya PKNK dan Taman Sejati Indah.

“Manakala di Kulim pula ialah Hospital Kulim, Taman Seroja, Taman Berjaya, Kampung Junjung, Taman Nenas,Taman Seladang,” katanya.

Sementara itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PABPP) dalam kenyataan hari ini berkata paras Sungai Muda turun mendadak di bawah 1.0 meter (m) di muka sauk PBAPP di Lahar Tiang Seberang Perai, jam 5 pagi tadi.

“Sehingga kini, PBAPP tidak mengetahui perkara sebenar yang menyebabkan paras Sungai Muda menurun yang boleh menyebabkan gangguan bekalan air di negeri Pulau Pinang.

“Untuk mengatasi keadaan ini, PBAPP akan menyalurkan air dari Empangan Mengkuang untuk digunakan di Loji Rawatan Air Sungai Dua. Dalam hal ini, PBAPP akan sentiasa berhubung dengan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS).

“PBAPP akan sentiasa kemas kini maklumat kepada pengguna air Pulau Pinang,” katanya.

Loading...
Terkini