comscore
Tumpuan :
Hiburan

SAG Awards 2023: Michelle Yeoh cipta sejarah!

Pelakon, Tan Sri Michelle Yeoh sekali lagi mencipta sejarah apabila merangkul trofi Pelakon Filem Wanita Terbaik di Screen Actors Guild (SAG) Awards. -FOTO : REUTERS

PETALING JAYA: Pelakon Tan Sri Michelle Yeoh sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya merangkul trofi Pelakon Filem Wanita Terbaik di Screen Actors Guild (SAG) Awards selepas memenangi trofi Golden Globe Awards, baru-baru ini.

Pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama memenangi anugerah lakonan filem terkemuka di SAG.

Michelle Yeoh turut menewaskan nama-nama besar lain – Cate Blanchett, Danielle Deadwyler, Viola Davis dan Ana de Armas dalam anugerah yang berlangsung di Los Angeles pada malam Ahad.

Lakonan Michelle Yeoh dalam filem Everything Everywhere All at Once berjaya meraih banyak anugerah dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pelakon gandingannya, Jamie Lee Curtis dan Ke Huy Quan turut membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Terdahulu, Michelle Yeoh merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik Filem Muzikal atau Komedi untuk filem Everything Everywhere All at Once arahan sutradara, Daniel Kwan dan Daniel Scheinert pada Golden Globe Awards.

Kemenangan tersebut sekaligus menyaksikan Michelle atau nama sebenarnya, Michelle Yeoh Choo Kheng menewaskan aktres hebat Hollywood lain seperti Lesley Manville, Margot Robbie, Anya Taylor-Joy dan Emma Thompson.

Loading...
Terkini