comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarjan Faridah meninggal dunia akibat serangan jantung – ATM

Sarjan Faridah Abd Rahman, Pegawai Tidak Tauliah Kanan dari Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL)

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan kematian Sarjan Faridah Abd Rahman berpunca akibat serangan jantung.

Markas ATM dalam kenyataan berkata, perkembangan itu berpandukan hasil bedah siasat dijalankan Hospital Hammoud, Saida, Lubnan, Ahad lalu.

“Keputusan awal bedah siasat sudah diperolehi Isnin lalu. Hasil bedah mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Urusan dokumentasi dengan pihak berkuasa Lubnan dan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) sudah diselesaikan pihak MALBATT 850-11 dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Beirut.

“Ini bagi tujuan membawa pulang jenazah ke tanah air menggunakan pesawat komersial pada jam 5.05 petang (waktu tempatan), Khamis ini,” katanya di sini, hari ini.

Allahyarham Faridah meninggalkan empat anak, iaitu Nurul Syifa, 13; Muhammad Afnan,10; Nurul Jannah, 7 (Sindrom Down), dan Ainul Mardiah, 4.

ATM sebelum ini, memaklumkan anggota MALBATT itu meninggal dunia pada jam 2.25 pagi waktu Lubnan atau 7.25 pagi waktu Malaysia.

Allahyarham yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11.

Beliau dilaporkan rebah selepas turun daripada bas di Kem Marakah, sejurus tiba di Lubnan selepas bercuti di Malaysia.

Sementara itu, ATM berkata, penghormatan terakhir dan solat jenazah Allahyarham Faridah akan dilaksanakan di Pangkalan Udara Subang di sini, pada jam 7 pagi, Sabtu ini.

“Solat jenazah akan dilaksanakan di Pangkalan Udara Subang, diberikan penghormatan sebelum dibawa ke kampung halamannya di Pendang, Kedah.

“Jenazah kemudian akan dibawa menggunakan pesawat angkut Tentera Diraja Malaysia dan dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Anwar, Kampung Tengah di Pokok Sena, Kedah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini