comscore
Tumpuan :
Nasional

Suami terkejut isteri meninggal di Lubnan

PENDANG: “Saya terkejut apabila dapat berita isteri saya meninggal kerana kami sekeluarga baru menghantar dia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk kembali bertugas di Lubnan,” kata Noor Azmi Ariffin.

Noor Azmi, 39, merupakan suami kepada Sarjan Faridah Abd Rahman, Pegawai Tidak Tauliah Kanan dari Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) yang meninggal dunia di negara itu, awal pagi semalam.

Noor Azmi berkata, isterinya dalam keadaan baik dan sihat ketika mereka menghantarnya di KLIA kelmarin (Jumaat).

Katanya, Allahyarhamah sebelum ini pulang bercuti selama sebulan dan dia tidak menyangka hari Jumaat lalu menjadi pertemuan terakhirnya bersama empat orang anak mereka.

“Isteri saya sebelum ini pulang bercuti di kampung kira-kira sebulan. Pada Jumaat baru ini, kami sekeluarga termasuk anak-anak hantar dia ke KLIA sebab cuti dia dah tamat.

“Semasa perjalanan pulang ke Kedah, saya ada singgah di rumah abang dulu, belum pun sempat tiba di kampung, saya dapat berita daripada panglima (tentera) mengatakan bahawa isteri meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Noor Azmi berkata, isterinya yang sudah 18 tahun berkhidmat tidak mempunyai sejarah sebarang penyakit dan kelihatan ceria ketika pulang bercuti baru-baru ini.

“Dia memang tak ada sakit apa sebelum ini, kalau ikut peraturan pun hanya anggota dan pegawai yang sihat sahaja akan dihantar bertugas di Lubnan sebab itu kami pun terkejut sebab dia nampak sihat sahaja,” katanya.

Noor Azmi berkata, ketika ini jenazah isterinya masih berada di Lubnan dan akan dibawa pulang ke kampung di Sungai Mati Tobiar setelah selesai urusan bedah siasat.

“Setakat ini saya cuma tunggu maklumat dari kem sahaja dan ikut perancangan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kampung Tualang,” katanya.

Faridah yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, Lubnan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 apabila dia rebah selepas turun dari bas di Kem Marakah.

Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 2.25 pagi Sabtu, waktu Lubnan (7.25 pagi waktu Malaysia).

Allahyarhamah meninggalkan empat orang cahaya mata berusia antara empat hingga 13 tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini