comscore
Tumpuan :
Nasional

`Saya mahu bersara’ – Lee Lam Thye


PORT DICKSON: Sebut sahaja namanya pasti ramai yang kenal!

Tan Sri Lee Lam Thye, aktivis masyarakat yang telah 53 tahun menceburi bidang politik dan aktiviti sosial.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) sudah menyuarakan hasrat untuk bersara.

Pada usia 76 tahun, Lam Thye pernah menjadi wakil rakyat Bukit Nenas dan Serdang, selain menjadi Ahli Parlimen Bukit Bintang di antara 1978 hingga 1990 dan terus aktif dalam kerja kemasyarakatan sehingga kini.

Beliau, yang juga pengerusi Ikatan Komuniti Selamat berkata, sebelum bersara sepenuhnya dari aktiviti masyarakat, beliau berjaya menulis sebuah buku, mengenai kehidupan peribadinya sepanjang dalam politik dan aktiviti sosial.

“Buku ini memaparkan kenangan terindah sepanjang saya berkhidmat kepada masyarakat. Kerjaya politik saya berakhir pada 1990 tetapi tanggungjawab dan komitmen kepada masyarakat serta negara masih berjalan.

“Saya tidak pernah ‘bersara’ sehingga kini, kali ini saya mahu rehat sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa anjuran MCPF Daerah Port Dickson di Tasik Villa, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed; Pengerusi MCPF Negeri Sembilan, Datuk Fadzil A Bakar; Pengerusi MCPF Port Dickson, Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui dan Timbalan Pengerusi MCPF Port Dickson, Datuk Mohd Faizal Ramli.

Buku setebal 312 muka surat itu disiapkan dalam tempoh lebih lima tahun dan diterbitkan dalam bahasa Melayu, Inggeris serta Mandarin.Ia dijual di kedai buku dan secara dalam talian, pada harga antara RM50 dan RM70.

Lam Thye berkata, selepas hampir 30 tahun berkhidmat dalam MCPF, beliau kini akan mengundurkan diri dan memberi kesempatan kepada orang lain untuk memimpin persatuan itu.

“Persatuan ini banyak membantu polis dalam aspek pencegahan jenayah.

MCPF akan dipimpin generasi baharu yang lebih bertenaga dan saya yakin ia akan terus diterima pasukan polis serta masyarakat,” katanya.

Loading...
Terkini