comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Saya mohon doa semoga kami sekeluarga kuat menerima ujian Allah – Kakak mangsa

KOTA BHARU: Urusan penjagaan dua anak kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 43 Jalan Gua Musang-Lojing pagi semalam akan dibincangkan oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

Demikian luah Suhada Khairuddin, 42, kakak kepada Suhana, 37 yang maut bersama suaminya, Ridwan Effendy Yusof, 43, dalam kemalangan terbabit.

“Doakan kami sekeluarga kuat untuk menggalas tanggungjawab menjaga kedua-dua anak Allahyarham”.

Katanya, mereka sekeluarga akan berbincang dengan keluarga selepas ini berhubung penjagaan dua anak Allahyarham.

“Di sebelah kami, ada lima beradik termasuk arwah Suhana dan sebelah arwah suami Suhana pula ada empat beradik.

“Jadi kami akan berbincang dengan keluarga pihak lelaki yang berasal dari Kedah berhubung penjagaan anak arwah. Bagaimanapun, saya mohon doa semoga kami sekeluarga kuat menerima ujian Allah ini.

“Kami sekeluarga pun masih dalam fasa terkejut memandangkan adik saya dan suaminya pergi secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunjung, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kedua-dua anak Allahyarham bersekolah berdekatan rumah ibunya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong dan SK Mulong.

“Kedua-dua beradik itu sangat rapat dengan papa dan mamanya. Anak yang sulung, Qaisara Damia Ridwan, 15, sangat terkesan memandangkan dia sudah besar.

“Insya-Allah kedua-dua mereka tabah dan kuat selepas ini,” katanya.

Jelas Suhada, kali terakhir dia berhubung dengan arwah Suhana adalah malam kelmarin bagi bertanyakan rawatan yang dibuat di Ipoh, Perak.

“Sebenarnya arwah Suhana dan suami ke Perak bagi membuat rawatan untuk kandungannya memandangkan berdepan masalah air ketuban.

“Malam kelmarin saya ada berhubung dengan arwah dan dia ceria seperti biasa. Saya hanya bertanyakan proses rawatan dan arwah memaklumkan semuanya berjalan lancar.

“Saya tidak sangka itulah perbualan terakhir saya dengan arwah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini