comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Saya nak tatap wajah terakhir’ – ibu saudara mangsa bot karam

Berlian Jumaat, 64, berharap dapat menatap wajah terakhir anak saudaranya Raud Darus@Hamid, salah seorang mangsa bot nelayan karam di perairan Tanjung Segenting, Jumaat lalu. – Foto: NSTP

BATU PAHAT: “Saya reda jika dia sudah tiada tetapi sekurang-kurangnya saya nak sangat dijumpai. Saya nak tatap wajahnya buat kali terakhir,” kata Berlian Jumaat, 64, ibu saudara Raud Darus@Hamid, salah seorang mangsa bot nelayan karam di perairan Tanjung Segenting, Jumaat lalu.

Berlian yang kini menghidap kanser payu dara berharap anak saudaranya ditemui secepat mungkin walaupun apa juga keadaan sekali pun.

“Khamis ini, saya dijangka menjalani pembedahan di HSNI (Hospital Sultanah Nora Ismai) dan berharap dia ditemui sebelum saya dimasukkan ke hospital.

“Kami tidak mengharapkan apa-apa pun, cuma nak dia dijumpai secepat mungkin. Kalau dia sudah tiada kami reda kerana ia ketentuan Illahi,” katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit, hari ini.

Menurutnya lagi, kejadian menimpa anak saudaranya itu hanya diketahui pagi Jumaat selepas dia keluar ke pasar awam berdekatan kampung.

Katanya, sehari sebelum insiden itu, Raud datang ke rumah membawa hasil tangkapan untuk diserahkan kepadanya.

“Dalam pertemuan itu, dia beritahu mahu turun ke laut malam itu (Jumaat). Saya hanya mengiyakan dan berpesan supaya berhati-hati.

“Sebelum ini, dia bekerja nelayan kerap keluar menaiki bot terbabit milik seorang tauke Cina tidak jauh dari kampung kami,” katanya.

Dalam kejadian jam 6 pagi, bot dinaiki lima nelayan dilaporkan tenggelam selepas dibadai ombak kira-kira 6.8 batu nautika dari perairan Tanjung Segenting.

Hanya Tan Siak Bin, 43, terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia setakat ini termasuk tekong, Chiah Kah Chong, 53, yang ditemui nelayan 7 malam semalam, manakala seorang lagi mangsa ditemui 11.30 pagi tadi.

Dalam pada itu, Berlian berkata, Raud menumpang kasih di rumahnya selepas kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Sejak itu, katanya, Raud yang juga anak kedua daripada lima beradik, tidak mempunyai keluarga terdekat melainkan dirinya.

“Saudara lain tinggal berjauhan, dia selalu datang rumah sama ada makan atau pun berehat. Saya anggap dia seperti anak sendiri, sebab itulah saya terasa apabila kehilangannya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini