comscore
Tumpuan :
Nasional

Saya terkilan, ia ditamatkan secara tiba-tiba tanpa sebab jelas – Kaka 

FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Penyanyi Kaka Azraff kesal kerana syarikat rakaman, Warner Music Malaysia tidak memberikan penjelasan berhubung penamatan kontraknya secara tiba-tiba tanpa alasan munasabah pada 1 Disember lalu.

Justeru penyanyi itu berkata pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang berhubung kesan selepas penamatan kontrak sekiranya tiada jalan penyelesaian.

“Sebagai artis rakaman dan antara paling lama di Warner Music Malaysia, saya percaya saya seharusnya diberikan penjelasan rasmi mengapa pihak pengurusan memutuskan menamatkan kontrak.

“Saya tidak terkilan kontrak ditamatkan kerana percaya rezeki Allah luas. Namun, saya terkilan kerana ia ditamatkan secara tiba-tiba tanpa menyatakan sebab jelas atau ruang perbincangan walaupun tempoh notis diberikan selama 30 hari,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Ditanya sama ada pernah bersemuka dengan pihak pengurusan, Kaka berkata, pertemuan berlaku pada 30 November lalu, namun mereka hanya memintanya menandatangani surat penamatan kontrak.

“Kami ada berjumpa, tapi bukan berbincang. Saya tidak tandatangani surat sebab saya perlu memperhalusi terma bersama peguam.“Mereka menegaskan tindakan saya bercanggah dengan polisi global,” katanya.

Mengulas tindakannya, Kaka menyatakan dia hanya membalas hantaran menerusi mesej langsung kepada pelakon Australia, Nathaniel Buzzolic, sekali gus menolak dakwaan menyebarkan perkara itu sebagai ucapan kebencian (hate speech).

“Saya bukan antisemitik dan tidak bersifat perkauman seperti didakwa. Saya hanya meluahkan pendapat peribadi kepada individu itu, bukan memberikan komen secara terbuka.

“Saya akui, mungkin pilihan kata-kata saya agak keras, tetapi itu menggambarkan kemarahan saya pada waktu itu, bahkan sehingga kini apabila menyaksikan ketidakadilan dan kekejaman berlaku di hadapan mata seluruh dunia.

“Mungkin saya seharusnya memilih kata-kata lebih sopan, namun saya tidak nafikan soal ini.

“Saya tidak ingin memandang ke belakang lagi,” katanya.

Peguam mewakili Kaka iaitu Aidil Khalid dari Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil berkata, ketidakadilan secara terangan berlaku apabila kontrak hanya memberikan keuntungan kepada pihak label, malah Warner Music Malaysia turut meletakkan klausa baharu.

“Kita buka ruang berbincang dengan Warner Music Malaysia sebab selepas penamatan kontrak ada kesan terhadap Kaka.

“Kalau perbincangan berjalan dengan baik, kami boleh selesaikan dengan baik. Kalau sukar mendapatkan persetujuan, kemungkinan kes ini akan dibawa ke mahkamah, namun masih terlalu awal untuk bercakap soal ini,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini