comscore
Tumpuan :
Nasional

Scam: Untung RM2,000, rugi RM1.34 juta

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Seorang akauntan berputih mata apabila hanya sempat merasa pulangan RM2,000 daripada pelaburan saham disertai, namun terpaksa menanggung kerugian RM1.34 juta.

Semuanya gara-gara melabur dalam skim pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar berkata, mangsa berusia 42 tahun membuat laporan semalam, mendakwa ditipu selepas menyertai pelaburan itu menerusi aplikasi Fidelity Max.

Katanya, mangsa mula-mula melihat iklan mempromosi pelaburan itu di media sosial pada Oktober 2023 dan berhubung dengan individu menerusi WhatsApp yang memberikan penerangan lanjut mengenai pelaburan.

“Suspek menerangkan mengenai pelaburan dalam bentuk pembelian saham syarikat dalam dan luar negara, dengan keuntungan berlipat kali ganda.

“Mangsa juga dijanjikan akan mendapat keuntungan yang lebih tinggi sekiranya membuat pelaburan berjumlah tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kumar berkata, mangsa kemudian mendaftar dalam aplikasi Fidelity Max untuk turut membolehkan dia memantau akaunnya, serta telah membuat bayaran ke beberapa akuan bank antara Oktober 2023 hingga Januari lalu, dengan keseluruhan nilai berjumlah RM1.34 juta.

“Mangsa percaya dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini