comscore
Tumpuan :
Nasional

Seludup 10kg ganja dalam beg galas, 2 lelaki ditahan 

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan (tengah) menunjukkan 10 ketulan mampat dadah jenis ganja yang dirampas susulan penahanan dua lelaki dipercayai pengedar dadah di RTC Napoh. FOTO: NSTP

JITRA: Polis menemukan 10 kilogram (kg) ganja dalam beg galas susulan penahanan seorang lelaki warga Thailand di kawasan parkir kenderaan di RTC Napoh, jam 4.45 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata pihaknya percaya bekalan dadah itu dibawa masuk ke negara ini melalui lorong tikus dari negara jiran.

Malah, pemeriksaan mendapati suspek berusia 30-an tiada sebarang dokumen pengenalan diri.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun dari Gemas, Negeri Sembilan.

FOTO: NSTP

“Mereka dipercayai pengedar dadah dan kita masih menyiasat kemungkinan mereka mengambil dadah itu untuk diedarkan kepada sindiket tertentu. Lelaki Thailand tiada rekod jenayah, tetapi suspek tempatan ada enam rekod jenayah.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif methampetamine.

“Dadah dirampas dianggarkan bernilai RM33,000. Kita turut merampas dua motosikal jenis Honda RS150 dan kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 25 Disember ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kita juga masih menjalankan siasatan berapa lama mereka terbabit dalam kegiatan ini,” katanya memaklumkan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 4,000 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

Loading...
Terkini