comscore
Tumpuan :
Nasional

Seludup tenggiling : 4 direman disyaki sogok penguat kuasa 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Empat individu yang dipercayai terbabit dalam sindiket antarabangsa penyeludupan sisik tenggiling, direman bermula hari ini.

Artikel berkaitan: Sogok pihak berkuasa, sisik tenggiling bernilai RM23.4 juta dirampas

Majistret A. Karthiyayini membenarkan tiga daripada suspek direman empat hari sehingga 18 Julai ini manakala seorang lagi direman dua hari sehingga 16 Julai.

Permohonan reman dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.

Kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 50-an  ditahan kerana disyaki  menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Menurut sumber, mereka ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

Semalam, Buletin TV3 melaporkan SPRM menumpaskan sindiket berkenaan menerusi Op Jaguar di sebuah premis di Klang dan Kuala Lumpur, apabila merampas hampir dua tan sisik haiwan itu bernilai lebih RM23 juta.

Buletin TV3 turut menyertai serbuan secara eksklusif dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM di Klang.

Hasil serbuan mendapati sindiket berselindung di sebalik perniagaan tayar dan menjadikan tingkat atas premis sebagai stor penyimpanan sisik tenggiling.

Dalam serbuan terbabit, SPRM menemui 97 guni sisik tenggiling yang keseluruhannya seberat kira-kira 1.8 tan.

Sindiket dipercayai bertindak sebagai orang tengah untuk mencari pelanggan yang ingin membeli hidupan liar yang telah dikeringkan dan diawet di pasaran gelap, selain penjaga premis bagi tempat penyimpanan hidupan liar yang diseludup.

Hasil risikan SPRM, isu penyeludupan haiwan liar sedang meningkat  dan Malaysia dipercayai menjadi hab atau transit bagi sindiket itu menjalankan operasi mereka.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Loading...
Terkini