comscore
Tumpuan :
Nasional

Semua Enam Mangsa Nahas Helikopter Dipindahkan Ke HRPB

Suasana di wad kecemasan Hospital Sultanah Hajjah Kalsom ketika ambulans dipercayai membawa mangsa helikopter yang terhempas di kawasan Brinchang.

IPOH : Semua enam mangsa insiden helikopter mendarat cemas di Brinchang dekat Tanah Rata, di sini sudah dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, terdahulu semua mangsa yang selamat dikeluarkan dari kawasan nahas dibawa ke Hospital Hajjah Kalsom di Tanah Rata, Cameron Highlands bagi mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke HRPB.

Polis juga sudah mengenal pasti identiti semua mangsa yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Mangsa adalah juruterbang helikopter itu, Kapten Fedzrol Norazam, 43, mengalami pendarahan dalaman manakala pegawai perubatan, Dr Munirah Abd Rahman, 35, cedera tulang belakang dan abdomen.

Pembantu Kesihatan Awam, Zainurol Fazlan Zainudin, 40, cedera di kepala; Penolong Pegawai Perubatan, Muhamad Azlan Hanifah, 31 (mengalami kecederaan di bahagian muka); Jururawat Kesihatan, Norhasikin Abu Seman, 38, (patah kaki kanan); dan Jururawat Masyarakat, Hashilawati Hussin, 43, cedera di lutut dan patah bahu kanan.

Mangsa terakhir dibawa keluar adalah Hashilawati, kira-kira jam 8.40 malam tadi sebelum operasi menyelamat ditamatkan jam 9 malam.

Beliau berkata, ketika mula ditemukan pasukan menyelamat kira-kira jam 2.40 petang semalam, semua mangsa dilihat berada di luar bangkai helikopter namun kecederaan dialami merencatkan pergerakan mereka.

“Anggota penyelamat tidak mengalami kesukaran untuk mengesan kedudukan mangsa dan helikopter kerana kejadian berlaku di kawasan hutan kecil,” katanya kepada pemberita, malam tadi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melalui kenyataan dalam pada itu, berkata insiden membabitkan sebuah helikopter yang dinaiki oleh Pasukan Doktor Udara, Pejabat Kesihatn Daerah (PKD) Kinta yang membuat pendaratan kecemasan ketika dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai membuat lawatan berkala ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.

Beliau berkata, semua enam mangsa itu dibuat penilaian oleh pasukan petugas perubatan di zon rawatan apabila dibawa keluar dari tempat nahas.

Difahamkan, Khairy dijadualkan akan melawat enam mangsa itu di HRPB, jam 11 pagi hari ini – BULETIN TV3

Loading...
Terkini