comscore
Tumpuan :
Nasional

Seorang lelaki dikhuatiri lemas, seorang lagi ditemukan maut dalam tragedi kepala air

Anggota bomba menjalankan operasi SAR mencari lelaki warga Pakistan yang dikhuatiri lemas akibat kejadian kepala air di Sungai Buloh. – FOTO: Ihsan JBPM Selangor.

SUNGAI BULOH: Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala seorang lagi meninggal dunia dalam kejadian kepala air dekat Kem Sungai Buloh di sini, semalam.

Mayat lelaki warga Pakistan berusia 27 tahun itu ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 1.12 tengah hari ini manakala rakan senegaranya masih hilang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.08 petang semalam.

Sebuah jentera bomba dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.

“Menurut keterangan saksi di lokasi terdapat dua lelaki berada di tebing sungai dan hilang selepas dihanyutkan kepala air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerja mencari dan menyelamat segera dilakukan namun tidak menemui mangsa sebelum operasi disambung semula 10.10 pagi ini.

Operasi pencarian menggunakan kaedah ‘water surface searching’ dari tempat mangsa dipercayai hilang menghala ke Jalan Haji Baei, selain bantuan daripada unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9).

Mukhlis berkata pasukan operasi berjaya menemui mayat pertama berhampiran Jambatan Jalan Rahidin di sini, kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi mencari mangsa kedua diteruskan.

Katanya, operasi pencarian diperluaskan sehingga ke Jambatan Kubu Gajah namun dihentikan pada 5.30 petang kerana hujan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini